Heroin filem Sejoli, Maya Karin yang ditemui selepas majlis tayangan bersama pelajar UiTM Shah Alam meluahkan rasa kecewanya selepas filemnya yang sudah tamat menjalani penggambaran sejak 2 tahun yang lepas masih tidak ditayangkan sehingga ke hari ini.
Jelasnya filem-filem lakonannya seperti Lagenda Budak Setan 3, Juanita dan lain-lain lagi tidak boleh disimpan terlalu lama kerana baginya selera peminat berubah-ubah.
“Saya sedikit kecewa apabila filem-filem lakonan saya disimpan terlalu lama & kita semua sedar bahawa trend bertukar dengan cepat. Contohnya seperti telefon bimbit yang digunakan dalam filem-filem tersebut seperti Nokia dan sekarang semuanya orang sudah bertukar menggunakan smartphone yang lebih canggih dan terkini,” jelasnya.
Ini juga memberi kesan kepada dirinya apabila tahun ini dia tidak dicalonkan dalam mana-mana anugerah berprestij tanah air seperti Anugerah Bintang Popular BH & Anugerah Skrin.
“Tahun ini saya tak dapat bertanding dalam ABPBH secara automatiknya kerana tiada sebarang produk pada tahun lepas dan saya berharap pada tahun ini filem-filem saya akan menemui peminat dan berharap filem Sejoli ini dapat mengubati rindu peminat,” ujarnya.
Akui Diri Sudah Punya Teman Istimewa
Sementara itu mengenai kehidupan peribadinya, Maya Karin menjelaskan bahawa kini dia lebih bahagia dan gembira kerana sudah 6 bulan dia berpacaran dengan seseorang jejaka yang katanya bukanlah orang di kalangan industri.
“Alhamdulillah saya cukup bahagia sekarang. Saya sudah mempunyai teman istimewa tetapi tak boleh didedahkan dahulu. 6 bulan sudah kami berkawan dan mengenali. Buat Sementara waktu ini saya tidak mahu bercakap lebih tentangnya kerana ianya masih baru lagi dan apabila sudah sampai masanya saya akan menceritakan kesemuanya,” ujarnya.
Maya turut memberitahu bahawa sebelum ini dia banyak digosipkan dengan beberapa artis lelaki terkenal dan antaranya ialah Remy Ishak. Walaubagaimana pun gossip tersebut tidak sesekali membuatkan kekasih barunya itu cemburu sebaliknya kekasihnya itu tergelak sahaja.
“Dia hanya tergelak apabila mendengar gosip-gosip begitu. Apa yang penting dia faham dengan kerjaya saya & tak kisah apabila saya digosipkan,” katanya mengakhiri perbualan. (rtky/hfz)
Gambar Ihsan: Warner Music Malaysia