Ramadan tahun ini pasti berbeza buat keluarga Ali Puteh tanpa kehadiran abangnya, Allahyarham Abam Bocey. Berkongsikan keadaan ibunya, Sabariah Arshad, Ali berkata ibunya teringatkan Abam setiap kali hendak berbuka puasa.
Menurut Ali, ibunya pasti akan termenung ketika berbuka puasa. Ali berkata bukan sahaja ibunya, malah mereka sekeluarga turut merindui dan terbayangkan arwah ada bersama apabila waktu berbuka.
BACA: Ali Puteh Dikecam Komen Kerja Amal Man Raja Lawak
“Setiap kali hendak berbuka puasa, emak mesti termenung. Bukan emak sahaja, kami sekeluarga rindu kehadiran arwah terutama pada bulan Ramadan
“Namun, semua tinggal kenangan. Tahun ini, memang terasa janggal kerana kurang seorang dalam anggota keluarga kami. Apabila tiba waktu berbuka puasa, bagaikan terbayang arwah ada bersama.
“Melihat emak yang sentiasa termenung, lagilah sedih. Apa yang boleh saya katakan kepada emak hanyalah meminta dia mendoakan kesejahteraan arwah dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Ali memberitahu kesihatan ibunya semakin merosot semenjak Allahyarham abangnya pergi. Malah, penglihatan ibunya semakin kabur mungkin kerana kerap menangis kerana rindukan Abam.
“Sebelum ini, emak ada masalah kaki sehingga terpaksa dibedah. Sekarang, penyakit lamanya datang kembali. Kaki menjadi bengkak sehingga terpaksa duduk di kerusi roda setiap masa.
“Penglihatan emak juga semakin kabur akibat kerosakan kornea. Mungkin ini berpunca apabila dia kerap menangis selepas pemergian arwah.
“Sebelum ini, arwah kerap membawanya ke hospital untuk rawatan mata. Insya-Allah selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya akan membawa emak berjumpa doktor,” katanya.