fbpx

Masih ‘Blur Katak’ Apa Bantuan PEMULIH Yang Anda Layak? Semak Ini

Negara kita masih belum pulih dengan kehadiran COVID-19. Malah melihatkan kes yang semakin hari semakin merunsingkan, keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada awal bulan Jun 2021 sehingga sekarang adalah satu keputusan yang baik demi kesejahteraan negara.

Pun begitu, kerajaan tidak hanya duduk diam. Faham dengan masalah dan rungutan rakyat, kerajaan telah mengeluarkan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai panduan atau peralihan keluar daripada PKP secara berfasa.

Dan paling membantu apabila kerajaan melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion untuk membantu mengurangkan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di musim pandemik ini.

Antara Senarai bantuan PEMULIH Yang Anda Perlu Tahu

Mungkin ada dari anda yang masih belum tahu atau pun pasti apa bantuan PEMULIH yang boleh membantu anda berdasarkan kategori anda.

Untuk info anda, bantuan PEMULIH ini meliputi untuk B40 miskin, B40, M40, T20, serta perniagaan mikro dan PKS.

Jom kami senaraikan beberapa bantuan yang anda boleh rujuk.

1. Penambahan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Inisiatif ini dikatakan mampu membantu anda yang terjejas terutama golongan B40.

Isi rumah bawah RM2,500 akan menerima bantuan BPR tambahan sebanyak RM500. Isi rumah di antara RM 2,501 sehingga RM5,000 pula akan menerima kadar sebanyak RM300. Bagi golongan bujang pula akan menerima bantuan BPR sebanyak RM100.

Selain itu, bayaran tambahan sebanyak RM500 pada bulan Julai juga akan diberikan. Tambahan ini akan dibayar bermula hujung bulan Jun secara automatik.

Pada bulan September, bayaran BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan sebanyak RM100 hingga RM1,400, akan dibayar sekali dengan bayaran melibatkan kes rayuan BPR yang sudah mendapat kelulusan. Anda boleh layari bpr.hasil.gov.my untuk info lanjut.

2. Bantuan Khas COVID-19 (BKC)

Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion dan akan diberikan kepada lebih 11 juta isi rumah, individu warga emas dan bujang.

Untuk pengetahuan anda, kadar bantuan BCK ini dibahagikan mengikut 3 kategori iaitu miskin tegar, golongan B40 dan M40 dalam tempoh 5 bulan.

3. Bantuan Moratorium Secara Automatik

Bermula 7 Julai 2021, semua peminjam individu boleh menghantar permohonan untuk mendapatkan bantuan moratorium selama 6 bulan.

Setiap permohonan peminjam individu akan diluluskan secara automatik, tidak mengira status B40, M40 mahupun T20. Anda hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman yang perlu.

Untuk usahawan mikro pun boleh juga memohon selain tangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran untuk pelajar yang membuat pinjaman seperti PTPTN dan MARA.

4. Bantuan Tambahan Program i-Citra KWSP

Selepas KWSP i-Lestari dan i-Sinar, kerajaan memperkenalkan i-Citra yang dapat membantu ahli berumur 55 tahun ke bawah yang terkesan akibat PKP bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka.

5. Program Subsidi Upah (PSU) 4.0

Melalui PSU 4.0 di bawah PEMULIH, kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Kerajaan juga akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja sehingga 4 bulan dari Ogos 2021.

Untuk 2 bulan pertama, PSU 4.0 adalah bagi semua sektor dalam fasa ke-2 PPN. Manakala, 2 bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang berada dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ke-3.

Sebelum ini, bantuan PSU hanya boleh diberikan kepada pekerja yang berpendapatan kurang dari RM4,000. Kini dalam PSU 4.0, majikan juga boleh memohon untuk pekerja yang berpendapatan lebih dari RM4,000.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari di LINK INI.

Berikut adalah senarai-senarai lain yang ada dalam pakej PEMULIH.

1. Pengawalan Harga minyak masak & minyak petrol.
2. Perluasan Elaun Mencari Pekerjaan.
3. Inisiatif Diskaun Bil Elektrik & Internet 1GB Percuma.
4. Membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK).
5. Lanjutan Program PenjanaKerjaya 3.0.
6. Penambahan bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0.
7. Skim Mikrokredit tersedia kepada pengusaha mikro/PKS.
8. Akses bantuan kewangan usahawan PKS disediakan.
9. Bantuan untuk usahawan MARA.
10. Pelanjutan Pengecualian Cukai.

Kalau Masih Tak Faham, Rujuk Gambar Di Bawah

Mungkin dari anda ada yang masih lagi tidak faham apa yang anda layak untuk memohon bantuan ini. Jangan risau, anda boleh rujuk gambar di bawah mengikut kategori yang ada iaitu B40 miskin, B40, M40, T20, serta perniagaan mikro dan PKS.

1. Kategori B40 Miskin

2. Kategori B40

3. Kategori M40

4. Kategori T20

5. Kategori Perusahaan Mikro

6. Kategori Perusahaan PKS

Untuk pengetahuan anda, maklumat manfaat pakej kerajaan yang anda layak boleh didapati di LINK INI. Harap dapat membantu anda!