fbpx

Jodoh dan pertemuan, ajal dan maut semuanya ketentuan Illahi. Itulah yang telah diungkapkan oleh pelakon yang popular menerusi drama bersiri Karlos, Johan As’ari.

Bercerita mengenai kehidupan jejaka yang berusia 27 tahun ini, dia mengakui sudah mempunyai target untuk mengikat tali pertunangan dan seterusnya berkahwin. Tetapi bagi peminat-peminat tegar Johan Asaari terutamanya peminat perempuan, anda janganlah bersedih kerana Johan masih belum mempunyai kekasih yang benar-benar istimewa kerana ini hanyalah sasarannya sahaja pada tahun ini.

Namun Johan As’ari mengakui ada seseorang yang kini sedang rapat dalam hidupnya tetapi enggan mendedahkan identiti gadis bertuah itu kerana bimbang hubungan yang di’harapkan tidak kesampaian.

“Kami belum menjadi pasangan kekasih, begitu juga masing masing tidak isytiharkan wujudnya apa apa hubungan istimewa antara kami. Jika benar dia ditakdirkan untuk saya, kami akan bertunang Disember depan”

“Sebenarnya ini adalah target saya sahaja, sebetulnya saya masih tidak mempunyai mana-mana teman wanita. Saya akui saya mempunyai ramai kawan-kawan perempuan tetapi semuanya bukanlah serius dengan saya, mereka semua hanyalah sebagai kawan-kawan biasa sahaja”

“Kita hidup mesti kena ada target untuk kita rancang apa yang kita mahukan dalam setiap peringkat umur yang kita lalui. Umur pun sudah semakin meningkat jadi eloklah sekiranya saya memikirkan pula kehidupan saya yang seterusnya. Tapi untuk berkahwin dalam masa yang terdekat ini, lebih kurang 5 bulan sebelum masuk tahun 2014 ini adalah mustahil kerana untuk melakukan sesebuah majlis perkahwinan bukannya suatu yang mudah dan memerlukan perancangan yang rapid dan teliti,” katanya ketika ditemui di Majlis Raikan Anak-anak Yatim Darul Kifayah anjuran Grand Brilliance.

Johan juga tidak memilih sekiranya bakal isterinya bukanlah dari kalangan artis atau seumpamanya.

“Seperti yang saya katakan, jodoh semua di tangan Allah, saya tidak pernah memilih atau tidak kisah sekiranya isteri saya bukannya dari kalangan artis. Malah sekiranya dia tidak menjadi artis pun saya tidak mempunyai langsung sebarang masalah. Saya akan menerimanya seadanya. Kalau sudah sampai jodoh, maka tanggungjawab saya juga besar dan beralih menjadi seorang suami pula selepas ini, InsyaAllah sekiranya saya sudah bersedia dan mempunyai pilihan hati anda semua akan saya maklumkan,” katanya ringkas.

Pada tahun ini, Johan akan beraya bersama-sama keluarganya di Damansara Kuala Lumpur, dan seterusnya bakal beraya bersama teman rapatnya iaitu pelakon Que Haidar pada hari raya yang kedua.