Hampir dua tahun bergelar duda, pelakon Nazim Othman berkata dia hanya berserah soal jodoh kepada Allah. Ujarnya, dia pernah menyuarakan hasrat untuk mencari jodoh tahun lalu dan sedia berkahwin lagi.

Bagaimanapun, Nazim berkata ketika hatinya terbuka untuk menerima jodoh baru namun tidak bertemu gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

BACA: Mowgli Dewasa, Peminat Tak Keruan Tengok Nazim Othman Tak Berbaju

“Saya akui, pernah menyuarakan keinginan mencari jodoh, tahun lalu. Memang rasa nak cari pengganti dan sudah bersedia berkahwin lagi.

“Tetapi, segala-galanya atas izin Allah. Jika belum sampai seru, pasti jadi sebaliknya. Saya tak mampu melawan kehendak takdir. Masa terbuka hati, tak berjumpa pengganti pula. Mungkin belum masa bertemu jodoh.

“Sekarang, apa yang lebih penting, memikirkan keperluan pada masa akan datang. Saya mengutamakan kesihatan diri, keluarga dan teman rapat. Tak ketinggalan, mengimbangi kehidupan dengan kerohanian dan mental,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Nazim berkata buat masa ini soal jodoh tidak lagi menjadi keutamaan apatah lagi dengan situasi negara berdepan pandemik Covid-19, dia perlu mencari rezeki.

“Jika ditanya soal jodoh, ia bukan keutamaan, buat masa ini. Saya memerlukan ruang memperbaiki diri, selain mencari rezeki ketika ramai terkesan dengan COVID-19.

“Pengalaman silam menjadikan saya lebih matang. Sebelum ini, saya mungkin fikir mudah tanpa memikir kesannya,” katanya.