fbpx

Pelakon Aeril Zafrel mengingatkan dirinya supaya tidak mengasari isteri dan anak-anaknya kerana baginya sebagai lelaki atau manusia tidak wajar berkasar dengan wanita mahupun sesiapa.

Memetik Harian Metro, Aeril berkata dia turut berdepan trauma ketika kecil dan tidak akan melakukan perkara sama terutama pada anak-anaknya.

BACA: “Sophia Manja, Mungkin Ada Yang Senang Jatuh Hati Kerana Karakternya” – Aeril Zafrel

“Kalau marah macam mana sekali pun, saya tidak akan angkat tangan terhadap isteri dan anak-anak. Tindakan itu tidak wajar dilakukan. Saya pernah trauma apabila sewaktu kecil bapa saya terlampau garang. Kadang-kadang berdarah-darah kena pukul.

“Jadi, saya berjanji takkan buat perkara sama kepada orang terdekat dengan saya, terutamanya anak-anak kerana saya pernah mengalami situasi itu.

“Saya sebagai anak kecil sewaktu itu rasa sangat tak selesa. Malah, dalam rumah saya pun, saya takkan berkasar, mahu pun kepada pembantu rumah saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aeril menyifatkan dirinya seorang yang tegas namun namun mempunyai cara tersendiri untuk mengawal kemarahan dan akan beristighfar.

“Personaliti saya tegas dan garang tapi untuk sampai tahap menjerit-jerit, angkat tangan, saya tak tergamak melakukan perkara itu.

“Mungkin saya tak diuji lagi sampai ke tahap itu tapi Alhamdulillah, kalau marah macam mana pun saya akan cepat-cepat Istighfar. Saya pun tak berani nak cakap lebih-lebih sebab lain orang lain ujiannya,” katanya.