Pengarah filem terkenal Mamat Khalid atau nama sebenar Mohamad Mohamad Khalid terpaksa dikejarkan ke Hospital Assunta, Petaling Jaya pada pukul 8 pagi semalam akibat serangan jantung.
Menurut isterinya, Hasmah Hassan, 50, pengarha itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian dada. Keadaan pengarah itu dilaporkan stabil dan sedang mendapat rawatan di Unit Jagaan Koronari (CCU) hospital berkenaan.
“Kami sekeluarga berada di Kuala Lumpur untuk sesi persiapan Festival Filem Malaysia (FFM) di Seremban, namun ada pukul 8 pagi tadi, dia mengadu sakit di bahagian dada. Saya terus hantar dia ke hospital terdekat kerana bimbang sakitnya berpanjangan”
“Selepas rawatan awal, doktor terpaksa menahannya di wad berikutan tekanan darahnya yang tinggi melepasi paras normal. Bagaimanapun, keadaannya kini dilaporkan stabil dan dia masih berada di wad sementara menunggu keputusan doktor untuk mengesan punca sebenar serangan jantung tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mamat Khalid sebelum ini pernah mengadu sakit di bahagian dada namun beliau enggan untuk menerima rawatan di hospital, tambah isterinya. (rtky/m)
Sumber: Kosmo! / Berita Harian