fbpx

Mahkamah Arah Harta Sajat Disita, Dilelong

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan harta usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman disita susulan gagal membayar pampasan RM200,000 kepada bekas stokis, OWA Resources.

Memetik laporan Harian Metro, pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan jam 10.30 pagi tadi di rumah Sajjad yang beralamat di Kota Damansara.

BACA: Ditemubual BBC, Sajjad Dakwa Dirinya Dianiaya

Terdahulu, Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 dari OWA Resources yang juga bekas stokis utama perniagaan bengkung dan ‘girdle’ milik Sajjad mengambil tindakan menyita susulan kegagalan usahawan itu membayar jumlah penghakiman pada Disember tahun lalu.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan berkata anak guamnya fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarahkan dibayar oleh mahkamah.

Barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.

“Writ penyitaan dan penjualan sudah ditampal di premis defendan hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini.

“Sekiranya jumlah pungutan wang hasil dari lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual,” katanya.