Bakal menyambut ulang tahun perkahwinan yang ketujuh tidak lama lagi, Izzue Islam berkata isterinya, Awin Nurin masih lagi menerima kecaman dan cemuhan netizen yang kurang senang dengan rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, Izzue berkata isterinya tidak mudah melatah dan tidak terasa hati dengan segala cemuhan tersebut. Malah, isterinya juga sudah semakin lali dengan perkara itu. Namun, Izzue akui sedih meskipun 7 tahun berkahwin, namun masih ada yang berkata bukan-bukan tentang mereka.


BACA: “Doakan Mana Tahu Ada Rezeki Anak PKP”

“Macam-macam kami lalui sepanjang berkahwin ni. Paling sedih dah tujuh tahun kahwin masih lagi ada yang cakap bukan-bukan pasal kami.

“Tapi Awin tak stres pun. Dah tujuh tahun orang mengata macam-macam pasal kami sampai dah lali dah,” katanya kepada mStar Online.

Masih belum dikurniakan zuriat, Izzue berkata dia tidak mengambil hati jika ada orang yang bertanyakan tentang perkara itu. Ujarnya, dia dan isteri menganggap segala pertanyaan itu sebagai satu doa.

“Kami suka bila orang tanya pasal anak. Sebab bila orang tanya tu maknanya orang sedang mendoakan kami juga,” katanya.

Dalam pada itu, bersempena ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada Selasa depan, Izzue berkata dia bakal melancarkan sebuah single khas bagi memperingati ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka.