fbpx

Luyfa Beri Nasihat Berhijab, Janna Nick Tak Terasa Hati

Baru-baru ini, perkongsian foto Janna Nick di Instagram dengan imej rambut ala ‘Barbie Doll’ menjadi perhatian ramai termasuk pelakon Lufya Omar.

Menerusi komen ditinggalkan, Lufya memuji gaya rambut Janna serta mengatakan tidak sabar melihat pelakon itu berhijrah suatu hari nanti.

BACA: Dini Schatzmann Cari Duit Mahu Beli Rumah Impian Dengan Janna Nick

“Barbie rambut tu sangat comel. Tak sabar nak tunggu Janna berhijrah. Mesti lagi cantik,” tulis Lufya.

Bagaimanapun, ada netizen kurang senang dengan komen Lufya itu yang dianggap ‘kurang ajar’ kerana memberi teguran tersebut secara terbuka kerana boleh sahaja hantar secara peribadi.

Mengambil teguran tersebut secara positif, Janna berkata dia tidak terasa terasa hati dengan kata-kata Lufya sebaliknya menganggap apa yang dikatakan itu adalah sesuatu yang benar.

“Apa yang dia (Lufya) cakap itu memang kebenaran (menutup aurat) yang kita semua tahu. Mungkin dia mahu gunakan platform Instagram untuk dia berdakwah dan mengajak kita kea rah kebaikan. Saya ambil teguran itu secara positif,” katanya.

Kata Janna lagi, umat Islam baru sahaja memasuki tahun baharu semalam (1 Muharam 1443) dan sudah tiba masanya untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Kita pun baru masuk tahun baharu Islam. Inilah masa untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Dalam situasi ini, saya harap semua orang akan jadi lebih positif,” katanya.

Sementara itu, Lufya berkata komen diberikan akan jadi positif kalau dibaca dengan nada yang positif. Malah, apa yang dikatakannya itu juga adalah satu doa.

“Bagi saya kalau orang yang positif pasti yang membacanya dengan nada positif. Apa yang saya katakan itu adalah satu doa.

“Saya sedang doakan Janna dan pastinya doa yang baik itu akan kembali semula pada yang mendoakan (diri sendiri) untuk terus istiqamah. Komen saya memang doa untuk Janna,” katanya.