fbpx

Lufya Omar, Dr Che Hafiz Sah Bercerai Talak Satu

Hampir setahun kemelut rumah tangga diperkatakan ramai, akhirnya rumah tangga Lufya Omar dan Dr Che Hafiz menemui titik notkah selepas sah bercerai talak satu pada 17 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Menurut Dr Che Hafiz, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu berlaku salah faham atau tanggapan buruk terhadap dirinya memandangkan mereka bukan lagi suami isteri. Malah, dia berharap tidak lagi dikaitkan lagi dengan bekas isterinya itu.

BACA: Lufya Omar Dikecam Bawa Anak Keluar Beli Baju Raya

“Sebenarnya, saya dan Lufya sudah sah bercerai pada 17 Jun lalu di hadapan hakim di mahkamah. Saya berharap sangat selepas ini tiada lagi pihak yang cuba mengaitkan saya dengan dia sebab kami bukan lagi suami isteri.

“Saya beritahu perkara ini sebab taknak ada timbul salah faham antara mana-mana pihak atau berlaku prasangka buruk terhadap saya. Apa-apa saya minta maaf dan harap semua pihak memahami,” katanya kepada mStar Online.

Hafiz berkata tujuan dia berkongsikan perkara itu susulan tindakan Lufya memuat naik status isu seorang suami tidak menjalankan tanggungjawab terhadap anak di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Dr Che Hafiz memberitahu dia tetap akan berusaha untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dengan sebaik mungkin walaupun mendapat pelbagai halangan.

“Soal anak, saya tetap sentiasa berusaha untuk jalankan tanggungjawab sebaik yang mungkin. Siapa tak sayang anak kan. Itu darah daging saya. Saya berharap ia tidak dihalang oleh Lufya,” katanya.

Dr Che Hafiz dan Lufya mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya perempuan, Laana Haura yang kini berusia tiga tahun.