fbpx

Lufya Dedah Sudah Setahun Suami Tak Jenguk Anak

Kemelut rumah tangganya masih tiada kesudahan lagi, Lufya Omar meluahkan rasa kesal apabila suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum sudah hampir setahun tidak menjenguk anak, Laana Haura.

Tidak berniat untuk mengeruhkan keadaan, Lufya berkata dia hanya mahu menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku apabila timbul dakwaan mengatakan dia tidak mengizinkan suami bertemu anak.

BACA: Lufya Omar Titip Nasihat Buat Pasangan Bercerai

“Saya harus menjelaskan soal jumpa anak. Ini kerana ada yang beranggapan saya tak bagi suami jumpa anak. Dakwaan ini tidak benar sama sekali. Kalau tak mahu bercakap dengan saya bertanyakan anak, dia boleh sahaja menghubungi ibu mentua atau adik iparnya, tetapi kenapa berdiam diri?

“Saya dan suami kali terakhir berkomunikasi ketika mahu mengundangnya ke majlis hari lahir Laana yang kedua pada November lalu. Tetapi, dia tak datang kerana sibuk bekerja.

“Saya tiada masalah memberi kebenarannya bertemu anak di rumah. Jika saya keluar bekerja, anak di bawah jagaan ibu saya. Jadi, tak timbul masalah jika dia mahu meluangkan masa dengan anak,” katanya kepada BH Online.

Kata Lufya lagi, suaminya juga langsung tidak bertanya khabar anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hinggalah masuk Ramadan. Lufya berkata, meskipun sibuk sebagai petugas barisan hadapan, tetapi dia ada tanggungjawab pada anak.

“Dia harus ingat tanggungjawab pada anak, sekali pun sibuk dengan tugasnya sebagai petugas barisan hadapan. Andai kata kami tiada jodoh sekalipun, nanti, Laana tetap darah dagingnya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur di sebalik ujian rumah tangga, rezeki saya dan anak datang dalam pelbagai cara,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya perempuan, Laana yang kini berusia dua tahun. Difahamkan, kes permohonan cerai Lufya dan suaminya masih tergantung.