fbpx

Liyana Jasmay: Nak Berlakon Tak Perlu Seksi

Pelakon yang sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Liyana Jasmay 28, memberitahu untuk menjadi seorang pelakon, bukanlah satu keperluan untuk mendedahkan tubuh badan kepada umum. Malah bagi pelakon yang belum berkahwin, mereka boleh untuk menolak watak sebegitu.

BACA: Liyana Jasmay Kembali Sibuk Selepas Habis Pantang

“Bila sudah berkahwin banyak perkara perlu dijaga, watak yang tak sepatutnya dilakonkan kita sendiri boleh berfikir dan tolak tawaran tersebut. Kalau tak kahwin sekalipun untuk pelakon-pelakon perempuan saya nak nasihatkan sikit, tak perlu untuk cium-cium, pegang-pegang atau dukung”

“Dalam lakonan tak perlu ada porn. Itu tak baik serta tak perlu seksi pun. Saya sendiri yang tengok geli apatah lagi masyarakat di luar sana,”katanya yang ditemui di Majlis Pelancaran ‘Karya 12’ anjuran Astro Citra kelmarin.

Semenjak kebelakangan ini pertandingan realiti TV banyak melibatkan artis-artis ternama tempatan yang mencuba nasib untuk merealisasikan impian mereka. Pun begitu, Liyana Jasmay tidak berminat untuk menyertai sebarang pertandingan realiti TV kerana bagi dirinya dia lebih suka apa yang dibuatnya sekarang.

“Realiti TV? tidak sama sekali terima kasih. Saya tak nak memperbodohkan diri di atas pentas. Maksud saya orang tahu apa yang saya buat. Saya tak perlu untuk ke pertandingan realiti untuk memberitahu kepada orang ramai apa yang saya buat”

“Mungkin mereka yang menyertai realiti TV kurang dikenali tapi saya tak tahulah. Mungkin juga mahukan kemashyuran, tapi bagi saya kemasyhuran bukanlah segala-galanya. Apa yang saya boleh beritahu buatlah yang terbaik,” katanya panjang lagi.

Dalam perkembangan lain, Liyana Jasmay akan mengeluarkan single terbarunya berjudul ‘Oh Nana’ ciptaan sepenuhnya Aliff Abdullah (Sleeq) yang akan dilancarkan tidak lama lagi. (rtky/h)