fbpx

Lepas Khatam Al-Quran Baru Bandi Amuk Setuju Masuk GV8

Mengakui sudah beberapa kali diajak untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza, penyanyi Bandi Amuk berkata baru tahun ini dia bersedia untuk turut serta sebagai peserta GV8.

Menurut penyanyi berusia 57 tahun itu, sebelum ini Bandi terpaksa menolak kerana terikat dengan beberapa komitmen serta akhirnya khatam Al-Quran pada Januari lalu.

BACA: 3 Tahun Belajar Al-Quran, Bandi Amuk Syukur Berjaya Khatam

“Mereka tanya nak sertai atau tidak dan sering kali saya jawab tak boleh kerana banyak komitmen yang kena didahulukan.

“Dalam pada itu, saya juga belajar mengaji al-Quran dari peringkat asas dan sayang nak tangguhkan kerana rasa seronok. Alhamdulillah, pengajian sejak pertengahan 2017 dengan seorang ustaz ini sudah selesai pada Januari lalu apabila saya berjaya khatam,” katanya.

Kata Bandi lagi, tiada alasan untuk dia menolak pelawaan tersebut dan tekad pertandingan tersebut adalah penyertaan terakhirnya dalam program besar.

“Saya akan buat paling terbaik untuk kepuasan hati semua pihak. Diikutkan banyak aspek perlu diambil kira dalam pertandingan ini. Saya dah lama menyanyi dan kritikan itu sebenarnya okay daripada orang-orang lama.

“Kadang-kadang manusia ada ego sendiri. Di sini saya kena ada kekuatan untuk dengar semua pendapat untuk memperbaiki kelemahan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Bandi berkata secara logiknya tiada kepentingan untuk dia menyertai program itu kerana sudah mempunyai nama sendiri, namun tiada salahnya untuk mencuba.

“Tapi bila tengok Mus masuk, saya terfikir apa salahnya mencuba. Mus pun kata bila masuk ada benda baru yang saya boleh dapat. Tak dinafikan mental kena kuat. Pada umur begini memang tak nak kerja yang kena ‘torture’.

“Pada saya ia benda-benda yang memang memenatkan. Namun, saya kena anggap sebagai cabaran. Bertanding berbeza dengan beraksi dalam konsert,” katanya.