fbpx

3 Tahun Belajar Al-Quran, Bandi Amuk Syukur Berjaya Khatam

Selepas tiga tahun belajar mengaji, penyanyi rock popular, Bandi Amuk meluahkan rasa syukur berjaya khatam Al-Quran baru-baru ini.

Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat berkata, dia mula belajar mengaji sejak pertengahan 2017 dengan seorang ustaz. Bandi mengakui banyak dugaan sepanjang tiga tahun dia mempelajari Al-Quran.

“Saya cakap dengan ustaz itu untuk khatam dan dia alu-alukan. Alhamdulillah saya berjaya melakukannya. Selama tiga tahun belajar, dugaannya memang banyak.

“Walaupun boleh membaca al-Quran, saya pilih bermula dengan Iqra kerana nak betulkan tajwid dan mahraj. Itu yang buat jadi lama tapi tak kisahlah asalkan saya belajar.

“Sekarang, jika membaca surah Yassin saya boleh tahu mana harakat, mahraj dan sebagainya. Saya jadi seronok membaca surah Yassin kerana tahu mana nak berhenti,” katanya.

Dalam pada itu, Bandi yang kini menetap di Johor berkata dia sanggup mengambil penerbangan awal jika mempunyai persembahan di Sabah atau Sarawak kerana tidak mahu ketinggalan mengikuti kelas mengaji jam 8.30 malam.

“Rasa sayang nak tinggal kerana kalau sudah mengaji memang terasa seronok. Saya nak pesan kepada sesiapa yang nak mengaji al-Quran, kalau boleh peluk dulu al-Quran, cium dan junjung atas kepala.

“Niat dalam hati semoga al-Quran ada dalam hati dan diri kita. Perasannya sangat seronok. Bukan tak boleh khatam sendiri di rumah tapi khatam di depan guru yang mengajar kita lain rasanya. Ia buat saya berhati-hati dan tak buat silap depannya,” katanya.

Sebelum ini ustaz yang mengajarnya meminta izin untuk memuatnaik foto di Facebook, Bandi berkata dia tiada niat menunjuk-nunjuk tetapi mungkin apa yang dikongsikan dapat memberi semangat orang lain untuk mempelajari Al-Quran.