Teka-teki status rumah tangga Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran akhirnya terjawab apabila pelakon popular Indonesia itu mengesahkan bahawa mereka sudah pun bercerai selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara itu dimaklumkan oleh Laudya sebentar tadi menerusi satu program. Laudya memberitahu keputusan untuk berpisah itu telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan dilakukan secara baik.
BACA: Foto DP Tanpa Isteri, Engku Emran Unfollow Laudya Cynthia Bella
“Berkaitan laporan berita ketika ini tentang rumah tangga saya, saya ingin menjelaskan bahawa kami sudah sama-sama sepakat untuk berpisah secara baiik.
“Sudah berbagai upaya kami lakukan dan ini adalah takdir Allah SWT, rumah tangga kami hanya sampai di sini dan sudah segala proses kami lalui, saat ini semuanya sudah selesai,” ujarnya.
Meskipun berdepan dengan pengalaman pahit, bagaimanapun Laudya berkata dia reda di atas apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai sebuah pelajaran dalam kehidupannya. Laudya juga percaya ada hikmah tersembunyi disebalik perceraian itu.
“Dua tahun dia menjadi suami saya, banyak sekali kebaikan, hikmah dan pembelajaran yang saya dapat.
“Insyaallah hikmah, pembelajaran, semua yang saya dapat ini boleh saya jadikan bekal, boleh saya simpan untuk menjadi wanita yang Insyaallah jauh lebih baik lagi,” katanya.
Laudya dan Engku Emran berkahwin pada 8 September 2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. Terdahulu, rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian apabila Laudya memadam semua gambar bersama suaminya di Instagram.