Usahawan tempatan kini boleh menjalankan jualan secara langsung di TikTok tanpa perlu mengeluarkan modal besar untuk menyediakan studio atau membeli peralatan sendiri.

Kemudahan itu ditawarkan secara percuma menerusi inisiatif TikTok Shop LIVE Hub, dengan setiap usahawan boleh menempah studio selama dua jam bagi setiap sesi.

Lebih menarik, studio berkenaan dilengkapi internet berkelajuan tinggi, sistem kalis bunyi, lebih 500 pilihan latar belakang digital serta pelbagai kesan khas untuk menjadikan siaran langsung lebih menarik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, penggunaan teknologi digital membolehkan peniaga kecil menjangkau lebih ramai pelanggan tanpa perlu membuka cawangan baharu atau menanggung kos operasi yang tinggi.

“Ramai peniaga kecil sebelum ini bergantung kepada pelanggan di sekitar kedai atau kawasan tempat tinggal mereka.

“Namun, dengan adanya platform e-dagang, mereka kini berpeluang menjual produk kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak industri bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan, meningkatkan kemahiran serta meluaskan pasaran.

Steven Sim berkata demikian sempena perasmian TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Ahad.

Steven Sim menyertai sesi jualan peniaga kek dikenali sebagai Kak Yana (dua dari kiri) di TikTok LIVE.

Sementara itu, KUSKOP dalam kenyataannya berkata, pusat terbaharu itu merupakan lokasi keenam hasil kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia, sekali gus memperluas akses kemudahan jualan digital kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana.

“Petugas teknikal turut disediakan bagi membantu usahawan menggunakan kemudahan tersebut.

“Usahawan hanya perlu membawa produk masing-masing untuk memulakan sesi jualan secara LIVE,” menurut kenyataan itu.

Selain kemudahan studio, usahawan turut berpeluang mengikuti latihan penghasilan video pendek, pemasaran dalam talian dan teknik jualan LIVE bagi membantu meningkatkan jualan masing-masing.

TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang mempunyai dua studio LIVE dan sebuah pusat latihan, dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan.

KUSKOP memaklumkan, ketika Steven mula menerajui kementerian itu pada Disember 2025, hanya terdapat tiga TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara, iaitu di Sabah, Kuala Lumpur dan Johor.

Bagaimanapun, tiga lagi pusat dibuka tahun ini masing-masing di Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang, menjadikan keseluruhan kemudahan itu kini merangkumi 12 studio LIVE, tiga pusat latihan serta sebuah studio podcast.

Kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran TikTok Shop dalam teknologi dan e-dagang dengan rangkaian pembangunan usahawan serta kemudahan pembiayaan TEKUN Nasional.

“Setakat September 2026, lebih 1,300 usahawan yang menyertai kerjasama ini telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi RM45 juta melalui platform TikTok Shop,” menurut KUSKOP.

Usahawan yang berminat untuk menggunakan kemudahan percuma itu atau menyertai latihan boleh membuat tempahan melalui laman web https://tiktokshoplivehub.com/ atau akaun TikTok @livehubmy.

Berikut senarai enam lokasi TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara berserta alamat, nombor telefon dan waktu operasi:

1. TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang

Alamat: G-45, Pusat Perniagaan Perdana Jaya, Jalan Permatang Rawa, Bandar Perda, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Telefon: 019-344 9663

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 6 petang.

2. TikTok Shop LIVE Hub Sabah

Alamat: Development, Lot 4, 2nd Floor, Highgreen, Penampang – Kinarut/Papar Old Highway, Taman Highreen Fronting, 89500 Penampang, Sabah.

Telefon: 016-427 9594

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.

3. TikTok Shop LIVE Hub Kuala Lumpur

Alamat: T2-02-01, TikTok Shop LIVE Hub KL, Maju Link, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bandar Tasik Selatan, 57000 Kuala Lumpur.

Telefon: 016-244 9663

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat, 9.30 pagi hingga 12 tengah malam.

4. TikTok Shop LIVE Hub Johor

Alamat: Level 1, 66B, Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda, 81200 Johor Bahru, Johor.

Telefon: 018-966 3103

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 6 petang.

5. TikTok Shop LIVE Hub Kelantan

Alamat: Tingkat 1, Wisma Aminah Zain, Lot 320, Seksyen 21, Jalan Sultan Yahya Petra, Taman Maju, 15150 Kota Bharu, Kelantan.

Telefon: 011-1957 9663

Waktu operasi: Ahad hingga Khamis, 9 pagi hingga 6 petang.

6. TikTok Shop LIVE Hub Pahang

Alamat: A15, 1st Floor, Jalan Bukit Sekilau, Pasar Besar Kuantan, 25200 Kuantan, Pahang.

Telefon: 011-1412 9663

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.

×