fbpx

Tidak dinafikan ada segelintir masyarakat Malaysia taksub untuk menginginkan kulit putih sehingga memberi tekanan kepada mereka yang berkulit gelap.

Baru-baru ini, penyanyi Yuna ada berkongsikan paparan dari sebuah video mengenai tiga gadis berkulit gelap menggunakan produk memutihkan kulit kerana pernah dibuli oleh orang sekeliling.

BACA: Gaya Tudung ‘Beanie’ Yuna Dikritik Tak Tutup Aurat, Nampak Leher

Menerusi perkongsian di Insta Story, Yuna turut meminta orang ramai tidak menggunakan produk pemutih yang boleh menghakis kulit kerana baginya kulit gelap itu sangat cantik.

Katanya lagi, produk tersebut bukan sahaja membuatkan syarikat menjual produk itu kaya raya, malah boleh beri kesan buruk pada si pemakai yang berisiko berdepan masalah kerosakan organ.

“Kulit gelap sangat CANTIK! Berhenti jadikan syarikat yang menjual produk menghakis kulit jadi kaya-raya, mereka bukan hanya mencederakan kulit dan organ kamu.

“Malah mereka juga menjual idea yang kamu perlu miliki kulit yang cerah, untuk menjadi cantik yang mana ianya menjijikkan dan PALSU belaka. Mereka akan pastikan yang kamu berasa hodoh supaya mereka dapat membuat DUIT,” tulisnya.

Dalam pada itu, Yuna turut mengingatkan orang ramai supaya keluar dari ‘beauty standard’ yang tidak benar dan belajar untuk menyayangi diri sendiri.

“Kita juga perlu keluar dari trauma masa silam atau ajaran generasi lama yang menganggap kulit cerah itu lebih baik. Belajarlah!

“Dan sayangi kecantikan semulajadi kamu sendiri. Kamu berhak yang lebih baik dari standard kecantikan yang dah lama ini,” tulisnya.