fbpx

“Kritikan Netizen Memang Menyakitkan, Tapi Saya Jadikan Peringatan”

Sudah hampir 18 tahun menceburkan diri dalam dunia hiburan, sudah pasti Siti Sarah sudah masak dengan asam garam kehidupan sebagai anak seni.  Tidak dapat lari daripada kritikan, Sarah mengakui kritikan yang dilemparkan oleh netizen menjadi peringatan untuk dirinya.

Meskipun kata-kata yang diterima sangat memedihkan, namun Sarah berkata dia menggunakan kritikan tersebut sebagai azimat untuk meneruskan kehidupan. Ujarnya lagi, dia mahu memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik.

BACA: Siti Sarah Jumpa Wakil Orang Asli Untuk Mohon Maaf

“Sebagai manusia, saya tak boleh lari dari membuat sebarang kesilapan. Apatah lagi hidup sebagai seorang selebriti, semuanya diperhatikan.

“Pada awalnya, kritikan netizen memang menyakitkan tetapi lama kelamaan, saya ambil perkara terbabit sebagai peringatan untuk diri saya. Saya mahu terus memperbaiki diri,” katanya kepada Astro Gempak.

Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-36, Sarah berazam mahu memberikan pengaruh dan contoh yang baik kepada peminat serta orang sekeliling.

“Sempena hari jadi, saya berharap agar dikurniakan umur panjang, kesihatan yang baik untuk saya dan keluarga serta rezeki yang melimpah.

“Saya juga menanam impian untuk menggunakan pengaruh yang saya ada sebagai seorang penyanyi. Saya mahu memberikan contoh yang baik kepada peminat dan saya berharap apa yang saya azamkan menjadi kenyataan,” katanya lagi.