fbpx

Siti Sarah Jumpa Wakil Orang Asli Untuk Mohon Maaf

Susulan kontroversinya didakwa menghina Orang Asli, penyanyi Siti Sarah mengambil keputusan bertemu wakil masyarakat Orang Asli untuk memohon maaf secara terbuka berhubung kenyatannya itu yang mengundang kemarahan ramai pihak.

Sarah berkata dia meluahkan rasa syukur kerana komuniti tersebut sudi menerima permintaannya untuk bertemu. Ujarnya, hatinya tidak tenang selagi tidak dapat bersemuka untuk memohon maaf.

BACA: Hina Rambut Orang Asli, Siti Sarah Mohon Maaf Terlepas Kata

https://www.instagram.com/p/CE4euPbhbQ3/?utm_source=ig_embed

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf sekali lagi kepada masyarakat Orang Asli di Malaysia yang terguris dengan kata-kata saya. Saya bersyukur kedatangan saya dialu-alukan dan disambut baik. Tak tergambar perasaan ini apabila mereka terima permohonan maaf saya dengan hati terbuka.

“Tak tenang hati ini selagi tidak bersemuka dan memohon maaf. Apatah lagi keluarga saya sendiri sangat rapat dengan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Jelas Sarah lagi, dia akui terlepas kata dan tiada niat langsung untuk menghina mana-mana pihak, malah dia sendiri mempunyai seorang adik angkat daripada masyarakat Orang Asli.

“Tidak terlintas langsung di hati ini untuk menghina kerana saya sendiri memiliki adik angkat dari suku kaum ini, yang bernama Rainbow.

“Atuk dan nenek saya juga sangat rapat dengan mereka ini, jadi untuk apa saya menghina? Saya kesal gara-gara terlepas kata, ramai pihak terguris,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dia cuba melarikan diri, sebaliknya dia tidak mahu isu tersebut diperbesarkan.

“Selama ini saya cukup-cukup menjaga kandungan media sosial saya. Saya berdiam bukan kerana mahu bersikap lempar batu sembunyi tangan, sebaliknya tidak mahu isu diperbesarkan.

“Saya mengakui insiden ini banyak mengajar saya dalam menjaga kata-kata, berhati-hati memilih kawan dan dengan siapa saya bercakap,” ujarnya.