Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamsir memohon maaf kepada pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam berkenaan kes dadah membabitkan dirinya.

Memetik Oh Bulan, Tisha berkata isu terpalit dirinya itu sekaligus menjejaskan nama baik pengarah itu serta turut memohon maaf kepada keluarganya.

BACA: Pelakon Wanita Drama Kepolisan Ditahan Positif Dadah

“Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.

“Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah,” katanya.

Sementara itu, Tisha meminta agar orang luar tidak terlalu cepat menghukum dan sebagai manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

“Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, pelakon itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine. Bagaimanapun, pada 10 Julai lalu Tisha mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Sumber: Oh Bulan

×