Meskipun kini sudah bergelar jutawan, Hafiz Hamidun masih merendah diri dan ia bukan alasan untuk penyanyi dan komposer itu hanya ‘goyang kaki’ kerana dia tetap perlu bekerja keras lagi.
Seperti ahli perniagaan lain, Hafiz juga pernah melalui fasa jatuh bangun dan perlu melunaskan pelbagai komitmen. Ujarnya, walaupun bergelar jutawan dia tetap perlu bekerja setiap hari kerana ada tanggungjawab perlu dilaksanakan.
BACA: Hafiz Hamidun Berang Foto Disalah Guna Scammer Forex
“Saya tak nafikan tapi bukanlah untuk berbangga. Saya rendah diri sebab saya pun masih bekerja. Kalau orang kata jutawan yang tak payah kerja, saya pun kalau boleh nak macam itu.
“Tapi saya tetap kena kerja juga setiap hari, saya ada waktu jatuh bangun. Saya bukan hanya buat muzik saja, tapi saya ada buat investment dan saya juga ada beli property.
“Lagipun saya berniaga dan ada tanggungjawab, kena fikir tentang staf, bayar cukai dan zakat. Bukan nak kata kita ni kaya raya,” katanya kepada mStar.
Berkongsikan fasa kesusahan ketika awal pembabitannya dalam bidang seni, Hafiz berkata dia pernah sehingga satu ketika duit dalam dompet hanya tinggal RM1 sahaja dan kereta yang baru dibeli ditarik kerana tidak mampu untuk membayarnya.
“Saya sudah lalui fasa kesusahan sebelum ini. Masa awal pembabitan dalam bidang seni saya pernah hanya tinggal RM1 dalam dompet dan ketika itu saya nak pergi rumah kakak dekat Cheras.
“Tapi nak lalu tol yang RM1.10. Duit tak cukup ni sebab memang tinggal betul-betul seringgit. Saya ambil keputusan pergi kedai, beli mi segera harga 80 sen dan balik rumah, makan sambil tengok TV.
“Menitis juga air mata saya waktu itu. Pernah juga kereta yang saya baru beli tapi lepas tu tak ada duit nak bayar. Waktu itu hanya ada duit untuk makan saja. Dah dua bulan tak bayar terus kena tarik.
“Sebab itu saya bekerja keras untuk capai kehidupan sekarang ini. Saya memahami generasi muda yang berdepan masalah kewangan tapi apa yang penting, kena rajin berusaha,” katanya.