Kerajaan Kaji Caj Baharu Ke Atas EV, Biayai Pembinaan Pengecas Awam

Kerajaan mempertimbangkan mekanisme mengenakan caj ke atas setiap jualan kenderaan elektrik (EV) bagi mewujudkan satu tabung khas untuk membiayai pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan itu diperhalusi berikutan kekangan kewangan kerajaan untuk membangunkan kemudahan pengecas awam secara besar-besaran seperti di China.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan sumber pembiayaan yang lebih mampan bagi mempercepatkan pembinaan infrastruktur pengecas awam tanpa bergantung sepenuhnya kepada syarikat pengeluar atau pengedar EV.

“Mungkin setiap kereta EV yang dijual di sini kita kenakan caj untuk dimasukkan dalam satu tabung bagi membina pengecas awam tanpa mengharapkan penjual kereta ini melakukannya kerana ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Leong Ngah Ngah pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Johari berkata, kerajaan sebelum ini telah memberikan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) selama empat tahun bagi merangsang pertumbuhan pasaran EV serta menarik pelaburan ke negara ini.

Bagaimanapun katanya, langkah itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai sebanyak RM3.3 bilion, namun pembangunan rangkaian pengecas awam masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

“Selepas empat tahun, kita hendak mencari pengecas awam, (namun) tiada pelaburan yang dibuat oleh pemain (EV) ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tidak meneruskan insentif berkenaan dan hanya mengekalkan pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027.

Menurutnya, rangkaian pengecas awam kini menjadi cabaran utama dalam memperluaskan penggunaan EV di negara ini, terutama bagi penduduk pangsapuri dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mempunyai kemudahan untuk memasang pengecas di kediaman masing-masing.

Beliau berkata, walaupun EV merupakan teknologi pengangkutan masa depan, penyediaan rangkaian pengecas awam yang mencukupi adalah syarat penting bagi memastikan penggunaannya dapat diperluaskan di seluruh negara.

×