Kenyataan Adam Navin Satu Fitnah, Raja Azmi Tunjuk Bukti

Mula berkenalan dengan lelaki yang mendakwa dirinya anak kepada pemilik kedai kain terkemuka Jakel dan ingin jadi pelabur untuk projek filem terbaru Anak Ikan, Raja Azmi tidak menyangka bahawa lelaki tersebut rupanya seorang penipu.

Lelaki yang dikenali sebagai Adam Davin atau nama sebenar Davinder Sigh Gurehnan Sigh rupanya telah menipu ramai orang & kesemua mangsanya dikenali melalui laman Instagram.

Ketika ditemui siang tadi, Raja Azmi menegaskan bahawa apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut dan kenyataan yang dikeluarkan menerusi Harian Metro dan Astro Awani semalam adalah satu fitnah yang telah merosakkan nama baiknya sebagai seorang produser terkenal.

“Selama saya hidup tidak pernah saya menfitnah orang dan semalam adalah tamparan yang amat besar apabila dimalukan olehnya dengan kenyataan yang tidak benar dikeluarkan.”

“Saya bagi kenyataan hari ni adalah untuk tunjukkan bukti bahawa apa yang diperkatakan olehnya adalah tipu semata-mata dan hari ini, saya tampilkan kesemua mangsa untuk tunjukkan bukti laporan polis yang kami buat berkaitan isu ini.

Menurut Raja Azmi lagi, bukan dia seorang sahaja yang mengalami nasib yang sama malahan lebih dari 10 orang yang telah datang kepadanya dan menceritakan perihal yang sama.

“Cuba bayangkan dalam tempoh dua bulan sahaja dia (Adam Navin) telah berjaya menipu 10 orang dan antaranya pereka fesyen (Kos Serani) dan beberapa orang biasa yang dia kenali di Instagram dengan mengatakan ada menjual telefon pintar dengan harga yang sangat murah,” ujarnya yang ditemui di Resepi Cafe, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, siang tadi.

Ujar Raja Azmi lagi atau lebih mesra disapa Kak Mi, disebabkan karakternya yang mudah mempercayai orang membuatkan dia menjadi mangsa kepada lelaki tersebut.

“Kalau ikutkan saya memang macam ini, mudah percaya denga orang dan amat sukar untuk ubah namun apa yang berlaku pada saya sekarang saya akan jadikan pengajaran untuk saya agar lebih berhati-hati dengan Conman seperti ini.”

Walaupun mengalami beberapa cabaran untuk melaksanakan projek filem terbarunya yang dianggarkan bernilai lebih kurang 1 juta namun Raja Azmi memberitahu bahawa projek tersebut akan diteruskan juga walaupun tiada tajaan dari mana-mana pihak.

“Kalau ikutkan Adam itu bakal labur di dalam filem terbaru saya dan pada masa yang sama dengan pakej rupa yang dia ada memang membolehkan dia menjadi hero untuk filem tersebut, lepas benda ini jadi memang sukar untuk teruskan namun saya tetap akan jalankan penggambaran dan akan melakukan casting untuk mencari hero yang sesuai”

×