Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali menolak pembayaran hutang saman berupa motosikal daripada Ali Puteh untuk menyelesaikan hutang saman berjumlah RM76,000 yang dimenanginya tahun lalu.
Memetik Harian Metro, Hidayah berkata dia menolak kerana saman tersebut perlu dibayar dalam bentuk wang sebagaimana diperintahkan mahkamah.
BACA: Sambal Petai Laku Keras, Hidayah Gesa Ali Puteh Bayar Saman RM76,167.28
“Saya pun tidak menggunakan motosikal berkenaan yang ingin diberikan kepada saya seperti Yamaha RXZ, Yamaha 125Z dan Yamaha Y15. Wajarkah? Sekiranya pihak sana mengatakan semua motosikal itu masih ada nilainya, sila jual dulu dan wang itu dibayar kepada saya,” katanya.
Menurut Hidayah lagi, hutang tersebut bukan seperti ‘sistem barter’ yang boleh dilangsaikan dengan membuat pertukaran barang serta mempersoalkan mengapa pihak disana tidak menjual motosikal berkenaan dan berikan wang jualan kepadanya.
“Persoalannya, mengapa dan kenapa pihak sana tidak mahu menjual terlebih dulu motosikal itu dan kemudian wangnya diberikan kepada saya untuk selesaikan hutang? Mengapa dan kenapa perlu memberi motosikal itu kepada saya dan saya pula yang perlu jual untuk dapatkan wang?” katanya.
Terdahulu, Hidayah menggesa Ali membayar saman yang dimenangi olehnya sejak Februari 2022 lagi meskipun sebelum ini memaklumkan akan membayar tuntutan berkenaan.