fbpx

Kenalan Tak Bayar Sewa, Rumah Farid Kamil Bakal Dilelong

Pengurus kepada Farid Kamil iaitu Azahari Hamid mengesahkan rumah di Bandar Saujana Putra (BSP) yang bakal dilelong itu adalah milik aktor berkenaan.

Memetik HibGlam, Azahari berkata rumah berkembar dua tingkat dibeli dengan harga RM300,000 pada tahun 2011 itu disewakan kepada kenalan sejak lima tahun lalu.

BACA: Rumah Farid Kamil Bakal Dilelong Bermula RM522,000

Bagaimanapun, kenalan tersebut tidak membayar wang sewa terus ke bank sejak tahun lalu kerana berdepan masalah kewangan.

“Sebenarnya saya pun baru tahu mengenai isu lelongan itu tadi selepas dihubungi beberapa wartawan yang meminta kesahihan.

“Sejak disewakan lima tahun lalu, bayaran bulanan terus dimasukkan penyewa ke bank. Sebelum ini tiada masalah tetapi individu terbabit tidak berbuat demikian bermula pertengahan tahun lalu.

“Saya sendiri sudah menghubungi penyewa tersebut dan dia mengakui kesilapannya menangguhkan bayaran disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Sementara itu, Azahari berkata rumah tersebut memberi makna buat Farid meskipun tidak lagi tinggal di kediaman berkenaan. Tambahnya, Farid akan ke bank esok (hari ini)bagi menyelesaikan isu tunggakan bayaran pinjaman.

“Tadi ketika terima berita ini (lelong), sudah lewat petang, jadi esok pagi sahaja kami akan berjumpa pihak berkaitan. Harapnya hal ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

SUMBER: HibGlam