Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan susulan kematian seorang murid Tingkatan Dua yang dipercayai akibat dibuli.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, audit itu akan meneliti aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah berkenaan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan.
“Di peringkat KPM, aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh. Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan.
“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Fadhlina berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Siasatan berhubung kejadian ini sedang dijalankan oleh PDRM. Saya dimaklumkan bahawa seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan. KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.
Fadhlina turut hadir ke sekolah berkenaan pagi ini dan bertemu warga sekolah serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PDRM bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian serta tindakan yang telah diambil.
Mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang merupakan pelajar Tingkatan Dua SMK Za’ba, ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolah berkenaan malam tadi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia.
Jenazah remaja berasal dari Gemencheh yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk proses bedah siasat.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian selepas tular dakwaan di media sosial daripada ahli keluarga bahawa Muhammad Idlan Fareeq dipukul ketika berada di asrama sekolah.
Bagaimanapun, dakwaan berhubung kejadian itu masih dalam siasatan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Sementara itu, Fadhlina yang turut bertemu keluarga Allahyarham di hospital merakamkan ucapan takziah dan menyampaikan sendiri rasa simpati kepada keluarga berkenaan.
“Seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian itu.
“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham. KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” tegasnya.