fbpx

“Kematian Abam Dalam Khusnul Khatimah” – Imam Muda Hassan

Penceramah bebas, Imam Muda Hassan menyifatkan kematian pelawak popular Allahyarham Abam Bocey, dalam ‘khusnul khatimah’. Menurutnya, Nabi Muhammad SAW ada mengatakan antara tanda kematian yang baik, apabila ramai orang datang menziarah dan berdoa.

BACA: “Betapa Sayangnya Abam Pada Ibunya, Kuat Cari Rezeki” – Ebit Lew

“Apa amalan yang arwah Abam sudah lakukan sepanjang kehidupannya, ia di luar pengetahuan kita dan hanya Allah yang tahu.

“Cuma, apa yang boleh dikata ialah arwah cukup dikenali kerana sikapnya yang sangat penyayang dan tidak ada masalah dengan orang lain.

“Melalui sikap itu sudah menggambarkan betapa arwah Abam mempunyai hati yang sangat baik,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut juara Imam Muda musim kedua itu, pengakhiran hidup seseorang manusia itu adalah cerminan kepada amalan dilakukannya dan Abam adalah seorang anak yang taat dan sentiasa memuliakan ibunya.

“Seperti Abam, masyarakat sangat kenal arwah sebagai pelawak. Tetapi, sepanjang kehidupannya arwah adalah anak yang taat.

“Sikap arwah yang memuliakan ibunya dan berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai anak sehingga akhir hayat adalah pengajaran buat kita semua. Nabi Muhammad SAW pernah sebut dalam hadisnya ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’.

“Alhamdulillah, arwah Abam menunjukkan memang dia bersungguh mencari ‘syurganya’ dengan menjaga dan pelihara hubungan baik bersama ibu,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Muda Hassan berkata lagi, antara tandanya ialah urusan mati itu dipermudahkan Allah, berlaku dengan cepat dan orang cukup terkesan di atas pemergiannya.