fbpx

Kekasih Nafi Alya Iman Kaki Kikis, Gigih Bekerja Untuk Sara Hidup

Dituduh ‘gold digger’ dan perosak rumah tangga, teman lelaki Alya Iman iaitu Ridhwan Rosli tampil mempertahankan kekasihnya itu. Tidak setuju dengan tuduhan netizen itu, Ridhwa berkata Alya seorang gadis yang bersederhana.

Menurut Ridhwan, telefon yang dipakai oleh gadis berusia 19 tahun itu bukan model terkini. Malah, meskipun telefonnya mengalami kerosakan tapi masih digunakan lagi.

BACA: Alya Iman Dedah Kini Bercinta Dengan Lelaki Anak Dua

“Bukan, dia bukan gold digger. Dia seorang yang sangat sederhana. Skrin telefon dia retak pun dia masih guna. Kedua-dua telefon bimbit dia retak sebenarnya tetapi dia masih gunakannya. Model telefon tu pun bukan model terkini.

“Tapi sudah semestinya di media sosial, dia perlu tunjukkan perkara yang baik-baik dan cantik-cantik,” katanya kepada mStar Online.

Mula mengenali Alya selepas pelakon itu mula bekerja di sebuah syarikat swasta pada Jun lalu, Ridhwan berkata teman wanita itu tidak menggunakan lelaki untuk kemewahan hidup tetapi gigih bekerja untuk menyara kehidupan.

“Kami mula berkawan rapat sejak dia bekerja di sini pada Jun lalu. Dia bekerja di sini untuk menampung dirinya,” katanya.

Ridhwan yang merupakan seorang duda anak dua itu berkata dia dan Alya belum merancang untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya memandangkan mereka pernah melalui kisah silam dalam hubungan masing-masing.

Bagaimanapun, Ridhwan mengakui dua anak-anaknya rapat dan menerima Alya. Ridhwan berkata dia dan bekas isterinya berpisah secara rasmi pada 8 Oktober 2019 selepas enam tahun berkahwin.

“Bab kahwin tu, kami tak mahu terburu-buru. Anak-anak saya sayangkan dia, itu yang penting. InsyaAllah kalau ada jodoh, tak ke mana. Lagipun, kamu berdua pernah ada pengalaman buruk dalam hubungan cinta,” katanya.