fbpx

Pelakon Nora Danish berkata perasaan dan emosinya jadi rapuh setiap kali mendengar kisah pergolakan rumah tangga pasangan suami isteri disebabkan kehadiran ‘penyondol’.

Memetik BH Online, Nora berkata sebagai orang luar dia hanya rasa simpati serta berdoa agar dipermudahkan buat pasangan yang diuji dengan kemelut rumah tangga.

BACA: Nora Danish Teruja Pertama Kali Cuci Pakaian Di Dobi Layan Diri

“Sejujurnya, saya terkejut dan terkesima mendengar berita konflik rumah tangga pasangan selebriti seperti hangat diperkatakan. Saya memang sedih kerana ada antara mereka saya ikuti perkembangan dari zaman bercinta, berkahwin dan mempunyai anak.

“Tetapi, nak komen lebih pun tak boleh kerana saya juga mempunyai rumah tangga yang harus dijaga. Apa yang boleh saya katakan, alam perkahwinan tak selalu indah di pandangan mata, ada masanya berdepan jatuh dan bangun.

“Jadi, kita doakan urusan pasangan suami isteri diuji dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nora berpendapat kehadiran orang ketiga  adalah ujian daripada Allah untuk menguji rumah tangga pasangan suami isteri.

“Sebenarnya, saya tak berapa gemar mendengar perkataan ‘penyondol’. Rasanya gelaran ‘orang ketiga’ lebih sesuai. Pada pandangan saya, kehadiran orang ketiga juga satu ujian Allah. Tuhan hadirkan golongan ini untuk uji rumah tangga kita,” katanya.

Sementara itu, Nora mengakui adakalanya bimbang jika perkara sama menimpa rumah tangganya, malah dia turut mengusik suaminya, Nedim supaya tidak membuat hal sedemikian.

“Mestilah ada rasa bimbang. Kadang-kadang bila menonton filem berkaitan konflik rumah tangga membabitkan orang ketiga, saya ada juga mengusik suami supaya tak buat hal yang menyakitkan itu.

“Biasalah, mesti ada perselisihan faham dalam rumah tangga. Jadi, untuk menyelamatkan keadaan, salah seorang kenalah beralah atau berkorban,” katanya.