fbpx

Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai program hiburan terkenal Melodi apabila mempertemukan pelakon Izreen Azminda dan bekas madunya, Intan Saleh. Namun, ada yang mempersoalkan tindakan Melodi yang didakwa membuli Intan.

Tampil menjelaskan mengenai perkara itu, penerbit Melodi, Noradillah Abdullah atau Adeed berkata pihaknya sudah meminta kebenaran kedua-dua belah pihak terlebih dahulu dan tidak memaksa mana-mana pihak.

BACA: “Selagi Tiada Rasa Bahagia, Mana Mungkin Boleh Melupakan” – Intan Saleh

“Saya sendiri menghubungi Izreen dan juga Intan untuk mendapatkan persetujuan mereka bagi dipertemukan dalam rakaman Melodi Raya kami. Tak ada paksaan langsung.

“Ketika hubungi Intan, saya terlebih dahulu sudah jelaskan mengenai satu segmen yang kami nak buat dinamakan Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih. Segmen ini, kami (Melodi) nak pertemukan Intan dan Izreen untuk program Melodi Raya. Kalau setuju, kita nak jemput dia (Intan).

“Begitu juga, yang saya cakap pada Izreen ketika hubungi dia dan bertanya. Malah, dia (Izreen) kata boleh, tapi minta saya dapatkan persetujuan daripada Intan. Jadi, mereka dipertemukan selepas kedua-duanya bersetuju tanpa sebarang paksaan pun,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Adeed berkata pihak Melodi tidak mempermainkan sesiapa dan tidak bersikap memandai-mandai untuk mempertemukan mereka.

“Saya ingat jawapan yang diberikan Intan dan dia sangat profesional. Sejujurnya, saya kagum dengannya. Dia kata okay, boleh dan saya tanyakan dua kali padanya untuk ‘confirm’. Saya ulang cakap, segmen ini nak pertemukannya dengan Izreen dan dia kata, boleh.

“Di pihak kami (Melodi), memang takkan paksa. Malah, itu adalah cara kerja saya. Pada saya, kalau orang nak datang, datang. Kalau belum bersedia, mereka boleh cakap terus dan kami pun bukan jenis memaksa,” ujarnya.

Adeed turut menepis dakwaan netizen yang mempersoalkan tindakan pihak Melodi dengan menyifatkan cuba membuli Intan apabila mempertemukannya dengan Izreen pada program itu.

“Kami ada etika. Bukan buli seperti apa yang awak cakap tu. Pertemuan atas persetujuan Intan dan Izreen juga. Sebelum jemput pun, kami sudah fikir,” katanya.

Menerusi satu entri di Instagram, Izreen meluahkan rasa syukur doanya selama ini dimakbulkan Allah. Menurut Izreen, dia meminta maaf pada Intan sebanyak tiga kali dan sudah lama menantikan peluang tersebut. Izreen berkata pertemuan di Melodi itu adalah yang pertama selepas empat tahun.