Usahawan sensasi Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli mendedahkan dia mengalami gangguan dipercayai perbuatan sihir sehingga menjejaskan kesihatannya.
Memetik Utusan Online, Kak KM berkata selama empat bulan dia mengalami kesukaran untuk tidur serta bernafas dan hanya dapat melelapkan mata selepas waktu Subuh.
BACA: Kak KM Belum Sedia Tunai Haji, Pasang Niat Pakai Tudung
“Memang tidak sihat. Bermula sekitar pukul 7 malam, iaitu selepas Maghrib, saya tidak boleh tidur sehinggalah keesokan paginya. Apabila hari sudah cerah dan selepas Subuh, barulah saya boleh tidur. Keadaan itu berlarutan selama tiga hingga empat bulan.
“Gangguan itu bukan sekadar menyebabkan saya tidak boleh tidur, tetapi turut membuatkan saya sukar bernafas.
“Selepas itu, macam-macam penyakit datang dan saya langsung tidak ada mood untuk melakukan kerja. Semua perkara tidak mahu dibuat, cuma memasak memang perkara yang perlu saya lakukan,” katanya.
Sementara itu, Kak KM berkata disebabkan gangguan itu premis perniagaannya turut terkena termpias apabila beberapa pekerja sering mengalami demam.
Lebih mengejutkan premis perniagaannya dipenuhi lalat dan langau yang sangat banyak sedangkan bukan menjalankan perniagaan makanan.
“Di kedai pula, semua kakitangan asyik demam. Selain itu, kedai dipenuhi lalat dan langau yang sangat banyak sehingga memenuhi bahagian hadapan. Sedangkan kita bukannya menjalankan perniagaan makanan atau menjual makanan yang dimasak, tetapi keadaan tetap begitu,” katanya.
Dalam pada itu, Kak KM meluahkan rasa syukur keadaannya kini semakin baik selepas anak-anak tahfiz menawarkan air kepadanya.
“Sebenarnya, saya perlahan di media sosial kerana tidak sihat dan tidak ada mood. Semangat itu pun sudah hilang. Bukanlah saya sengaja hendak memperlahankan aktiviti, tetapi keadaan diri ketika itu memang tidak mengizinkan,” katanya.
Sumber: Utusan Online