Penyanyi Azmi Saat berkongsikan anak perempuannya, Khalisa Insyirah disahkan berada dalam spektrum autisme.
Menerusi perkongsian di Facebook, Azmi berkata dia akhirnya mendapat jawapan selepas menyedari perkembangan anak perempuannya itu agak perlahan berbanding kanak-kanak lain seusianya.
BACA: Azmi Saat Kecewa Isteri Dakwa Dilayan Kasar Kakitangan Bank
“Sejak Khalisa berumur lebih kurang setahun setengah, kami sudah mula perasan ada yang tak biasa pada perkembangan Khalisa. Terutamanya dari segi komunikasi dan beberapa perkembangan lain.
“Walaupun ketika itu belum ada apa-apa diagnosis, sebagai ibu yang ada deploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, isteri saya rasa ada sesuatu yang perlu kami beri perhatian.
“Kami bawa Khalisa menjalani terapi cara kerja. Kami masukkan dia ke Early Intervention Programme (EIP). Apa yang termampu, kami cuba usahakan.
“Selepas sekian lama menunggu, akhirnya kami mendapat jawapan yang perlu kami tahu. Doktor mengesahkan bahawa Khalisa berada dalam spektrum autisme,” tulisnya.
Sementara itu, Azmi berkata dia dan isterinya sudah bersedia untuk mendengar kemungkinan dan sebagai ibu bapa sudah pasti masa depan anaknya yang difikirkan.
“Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua. Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa. Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu.
“Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran. Kami berdua sendiri tidak dapat melihat. Tentulah jauh di sudut hati, kami pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah. Tetapi Allah menentukan perjalanan yang lain buat kami,” tulisnya.