Terdahulu, video gurauan yang dimuat naik oleh Izzue Islam menerima kritikan hebat apabila ada segelintir netizen menyifatkan tindakan isterinya, Awin Nurin biadap dan tidak menghormati suami.
Malah, ada yang meluahkan rasa jelik melihat gurauan mereka suami isteri di media sosial. Namun, Izzue berkata jika tidak suka melihat video gurauan mereka lebih baik jangan lagi ikuti Instagram miliknya.
BACA: “Saya Tak Rasa Pun Isteri Saya Biadap”
“Kalau tak suka dan meluat melihat gelagat mahupun gurauan saya serta isteri, lebih baik jangan ikut saya di Instagram bagi mengelakkan rasa sakit hati.
“Sebenarnya, tiada apa yang salah pun kerana ia sudah menjadi perkara biasa buat kami. Saya dan isteri memang bergurau kasar. Semestinya saya takkan berkongsi video terbabit jika ia menyentuh sensitiviti. Sebaliknya, ia sekadar gurauan suami isteri,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Izzue memberitahu dia tidak merancang setiap gurauan yang dimuat naik di Intagram dan peminat yang mengenali mereka pasti sedia maklum dengan gurauan mereka suami isteri.
“Saya ada terbaca komen mengatakan sudah muak melihat gurauan kami yang kononnya sama sahaja. Jadi, lebih baik ‘unfollow’ saya dan ikuti perkembangan mereka yang lebih kreatif dalam bergurau senda. Mereka yang mengenali kami pasti maklum gurauan spontan saya dan isteri.
“Kami pula tidak merancang setiap gurauan. Mana-mana yang dirasakan lucu, ia dikongsikan bersama peminat di Instagram. Mudah sahaja sebenarnya,” ujarnya.