Sebelum ini sering memuat naik foto Outfit of the Day (OOTD) di Instagram, namun sejak kebelakangan ini jarang pula Elly Mazlein berkongsikan foto sehingga menimbulkan spekulasi di kalangan bahawa dia kini berbadan dua.

Bagaimanapun, Elly atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Lina itu berkata masih terlalu awal untuk berkongsikan berita mengenai kehamilan itu. Elly memberitahu apabila tiba masanya nanti dia akan beritahu kepada umum.

BACA: Elly Mazlein Bahagia Kembali Sambut Syawal Sebagai Isteri

“Kalau dah okay, dah kuat, dah sah, Kak Lina akan kongsikan. Masih awal lagi untuk bercerita pun,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Elly turut memohon kepada peminat-peminat supaya mendoakan kesejahteraannya serta dikurniakan rezeki cahaya mata secepat mungkin.

“Doakan Kak Lina ya. Kalau ada berita mengenai kehamilan, Kak Lina akan kongsikan. Jadi, doakan kesejahteraan dan semoga dikurniakan rezeki cahaya mata,” katanya.

Elly Mazlein mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Mohd Azlan Che Noh merupakan seorang guru pada Januari lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, Elly dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia kini berusia empat tahun.