Penyanyi Black Hanifah menafikan sekerasnya dakwaan kapal persiaran mewah miliknya di Langkawi dibeli menggunakan hasil daripada penggubahan wang haram.
Memetik Harian Metro, Black berkata jika benar dakwaan tersebut sudah pasti dia akan disiasat oleh pihak berkuasa. Ujarnya, semua aset yang dimilikinya adalah hasil dairpada usahanya.
BACA: Kumpul Aset Untuk Keluarga, Black Bina Sendiri Villa Di Langkawi
“Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara itu kerana ia tidak benar sama sekali! Saya memiliki perniagaan yang berdaftar, saya bayar cukai setiap tahun. Sebagai rakyat Malaysia, saya patuh dengan undang-undang negara.
“Kalau benar saya cuci duit, SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) dan polis mesti akan siasat dan saya tidak duduk di sini, saya duduk dalam lokap.
“Saya masih selamat kerana saya buat benda yang betul. Semua aset yang saya miliki hasil simpanan dan perniagaan atas talian yang berjaya selain daripada doa orang sekeliling,” katanya.
Menurut Black lagi, dia tidak akan melakukan perkara yang melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Dalam pada itu, Black turut meluahkan rasa syukur hasi simpanan dan kerja kerasnya beberapa tahun memberikan hasil yang berbaloi.
“Semua aset seperti kapal dan villa itu adalah hasil dari perancangan yang saya atur dengan baik selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu banyak ilmu baru yang saya belajar dan dalam masa sama saya belajar menyimpan,” katanya.