Kerajaan mengarahkan tindakan segera diambil bagi menutup semua kelompongan dalam sistem keselamatan penerbangan negara susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) di Indonesia yang disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah.
Keputusan itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Kabinet menerima taklimat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung insiden berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang serta mengelakkan sebarang kelemahan sistem terus dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Berhubung penahanan seorang juruterbang ataupun ‘co-pilot’ MAS di Jakarta, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pihak KDN dan MOT bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera.” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Menurut Fahmi, antara langkah utama ialah menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang.
“Pertama, yang membabitkan ‘aviation security’ (AVSEC), perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah dalam kalangan polis bantuan,” katanya.
Selain itu, katanya, Malaysia Aviation Group (MAG) turut diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang serta saringan kesihatan terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang bagi memastikan proses pemilihan kru penerbangan lebih ketat.
Pada masa sama, KDN dan PDRM diarahkan meneliti semua aspek yang berpotensi disalahgunakan, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem keselamatan sedia ada supaya dapat ditutup secepat mungkin.
“Pada waktu ini kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri. Memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan tindakan susulan yang lebih menyeluruh selepas laporan lengkap diterima daripada kementerian berkaitan.
“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terbabit. Mereka yang terbabit perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk pastikan kelompongan dapat ditutup dengan segera,” katanya.
Kes berkenaan mendapat perhatian selepas seorang juruterbang Malaysia Airlines warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 28 Julai lalu.
Pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan kira-kira 70,114 biji pil ekstasi seberat hampir 25 kilogram, selain sejumlah kecil syabu.
Polis Indonesia mendakwa suspek dijanjikan upah sekitar RM50,000 bagi membawa masuk dadah tersebut.
KREDIT GAMBAR UTAMA:BERITA HARIAN