Dalam diam, pelakon Johan As’ari sedang menjalani hubungan cinta dengan seorang usahawan hartanah yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.
Memetik Kosmo, Johan mendedahkan dia merancang untuk menamatkan zaman bujang hujung tahun ini. Johan berkata dia dan kekasih sebelum ini bercinta jarak jauh kerana melanjutkan pengajian di luar negara.
BACA: Johan As’ari Terkilan Nama Sering Ditolak Stesen TV, Sedar Diri Dah Tak Diperlukan
“Kami sudah kenal lebih empat tahun bermula dengan percintaan jarak jauh kerana sebelum ini dia belajar di London dan sekarang tinggal di Perlis.
“Selepas mengenali hati budi, kami ada perancangan untuk berkahwin. Andai dia memang jodoh saya, paling cepat hujung tahun ini,” katanya.
Belum bersedia mendedahkan identiti kekasihnya yang dikatakan lebih berusia daripadanya, bagaimanapun Johan berkata usia tidak menjadi penghalang.
“Buat masa ini saya kenalkan dia sebagai ‘N’ yang berusia 39 tahun, tetapi usia bukan halangan malah kematangan itu membuatkan saya selesa berdampingan dengannya.
“Percintaan kami pun bukan macam pasangan lain kerana dia masih menguruskan perniagaan di utara tanah air. Hanya kepercayaan dan ketulusan yang membuatkan hubungan kami terus utuh,” katanya.
Dalam pada itu, Johan menyifatkan kekasihnya itu seorang yang pandai membawa diri dan tidak suka mengawal serta saling memahami.
“N juga seorang wanita yang pandai membawa diri, bukan jenis cemburu atau suka mengawal. Saya tak perlu telefon dia setiap hari kerana kami saling memahami.
“Sepanjang tempoh mengenalinya saya nampak kualiti dimiliki N yang membuatkan saya yakin dia calon suri hati saya,” katanya.