fbpx

Jelajah Suria Di Pulau Pinang Tarik Lebih 6,000 Pengunjung

Jelajah Suria dikecohkan oleh Team Pagi Suria yang telah diadakan di lokasi ketiga iaitu di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama penyampai-penyampai Suria seperti Shahrol, Issey, Fizi Ali, FeeyaIskandar (Cik Piah), Sharifah Shahirah (Rara), Tyzo, Suraya dan DJ Lin.

“Tiga jam penonton dapat menyaksikan persembahan daripada penyampai-penyampai SuriaFM oleh team pagi Suria. Selain itu juga dengan permainan yang menawarkan wang tunai, hamper beserta barangan-barangan eksklusif daripada Suria”

“Ini sebenarnya adalah sebagai platform terbaik untuk kita mendekati pendengar-pendengar serta menghargai mereka yang telah menyokong kita selama ini. Sebab kita bukan selalu dapat turun ke Utara, Selatan dan Pantai Timur. Jadi kesempatan ini kami ambil sebaik mungkin untuk mengeratkan silaturrahim antara penyampai radio dan peminat,” kata DJ Lin yang ditemui semasa Jelajah Suria di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

DJ Lin yang juga pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Popular (ABPBH29) turut berkata kelainan yang dibawakan di siri Jelajah Suria Pulau Pinang adalah seperti gimik yang diadakan oleh penyampai-penyampai Suria.

“Gimik daripada penyampai Suria Pagi seperti menyanyi lagu-lagu hindustan. Manakala, gimik daripada penyampai Suria Wanita seperti menari sambil bergelek di atas pentas. Hanya eksklusif di sini sahaja. Kita buat ala-ala mini konsert,” tambahnya lagi.

Siri jelajah yang dijalankan pada hari Sabtu, 22 September lepas melibatkan beberapaartis jemputan seperti Siti Nordiana, Wani Hasrita, Tajul, Nabila Razali, One Avenue Band, Amir Masdi, Nizam Laksamana dan Wany Music.

Apa yang lebih membanggakan siri jelajah kali ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat sekali apabila dikhabarkan lebih 6000 pengunjung Mydin Bukit Mertajam dan peminat setia Suria telah datang ke lokasi tersebut untuk bertemu dengan penyampai-penyampai Suria dan artis-artis jemputan.

Bahkan, pengunjung juga turut serta dalam permainan yang disediakan seperti Kutu Karoks dan membawa pulang wang tunai RM500 beserta barangan eksklusif Suria serta hadiah misteri.

Seterusnya pada 29 September ini, Jelajah Suria akan diteruskan pula ke Selatan iaitu di Plaza Angsana Mall, Johor Bahru. Inilah peluang anda untuk bertemu dengan penyampai-penyampai Suria dan artis-artis jemputan yang akan membuat persembahan seperti Finalis Big Stage Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Afieq Shazwan, dan Wany Kayrie serta ramai lagi artis-artis popular yang lain akan datang untuk menghiburkan anda di Johor Bahru.

Jadi apa tunggu lagi, ambillah kesempatan ini untuk bertemu dengan penyampai-penyampai Suria serta artis-artis kesayangan anda di hujung minggu ini. Selain itu anda juga boleh menyertai pertandingan-pertandingan yang telah disediakan oleh pihak penganjur seperti Kutu Karoks, Smart, Slumber dan banyak lagi.

Hadiah-hadiah yang disediakan berupa wang tunai sebanyak RM500, barangan eksklusif serta hadiah misteri. Untuk mendapatkan maklumat lanjut sila layari laman web Suria dan juga laman sosial Facebook, Instagram, & Twitter, @SuriaFMMalaysia untuk maklumat lanjut.