fbpx

Jantung Anak Terhenti 10 Minit, Lana Nodin Mohon Doa Orang Ramai

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Lana Nordin apabila diberitahu jantung anaknya, William Daud McKienzie, terhenti secara tiba-tiba selama 10 minit dan pembedahan terpaksa ditangguhkan.

Anak kedua Lana Nordin dan Mohd Daud McKienzie berusia dua bulan itu dijadualkan bakal menjalani pembedahan jantung petang semalam kerana masalah injap (Aortic Stenosis). Menurut Lana, anaknya kini di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan selama dua hari.

BACA: Lana Nodin Namakan Anak William Daud

“Anak dibawa ke bilik pembedahan jam 2.30 petang tadi. Ketika persediaan pembedahan dibuat, secara tiba-tiba jantung anak berhenti. Kemudian doktor memberikan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR). Selepas beberapa minit, jantung anak kembali berfungsi.

“Selepas itu, anak terus dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) bagi pemantauan rapi selama 48 jam. Jadi, pembedahan anak tak boleh dibuat hari ini,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Lana turut memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatan anaknya dan semoga dipermudahkan segala urusan.

“Hanya Allah saja tahu perasaan saya apabila mendapat berita yang disampaikan suami. Ketika itu saya sedang solat. Saya berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan. Saya juga mengharap bantuan orang ramai untuk sama-sama mendoakan anak,” katanya.