Sebut saja nama anak pelakon Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana, sememangnya kanak-kanak itu sering menjadi bualan ramai kerana bergaya seperti orang dewasa.
Memetik Utusan Online, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata anaknya itu sudah didedahkan dengan dunia glamor sejak kecil lagi.
BACA: Che Ta Terkejut Aaisyah Minta Skincare Berjenama Sempena Hari Jadi
Malah, Che Ta berkata Aaisyah sejak kecil lagi sudah didedahkan hadir ke majlis-majlis hiburan dan sesi penggambaran.
“Janganlah bandingkan anak anda dengan anak artis. Bukan nak kata artis hebat, jangan salah faham. Tetapi dia sudah didedahkan dengan dunia glamor sejak kecil.
“Kadang-kadang saya pun tak faham, kenapa ada segelintir netizen yang bila memberi komen memang layak disagat dengan batu jalan. Bukan nak kata anak artis ini lebih tetapi dia dah biasa dengan limelight,” katanya.
Sementara itu, Che Ta berkata anaknya itu tidak terlalu didedahkan dengan media sosial serta mengatakan Aaisyah sendiri yang suka untuk kelihatan cantik.
“Mak dia pula Che Ta yang semua orang tahu, bangun tidur sahaja dah bersiap melawa. Jadi dia terikut-ikutlah. Nak kata dia terlalu didedahkan dengan media sosial pun tidak juga, saya yang kawal semua.
“Anak artis sudah terdedah dengan perkara-perkara di luar kebiasaan. Tidak sama seperti anak-anak orang di luar sana. Dia sendiri suka dengan benda-benda lawa dan mahu kelihatan cantik,” katanya.
Sebelum ini, Che Ta berang apabila ada netizen meninggalkan komen di Instagram milik Aaisyah berharap agar kanak-kanak itu tidak menjadi wanita ‘pick me girl’ satu hari nanti.