fbpx

“Jangan Persenda Urusan Jodoh Saya, Semua Itu Urusan Allah”

Isu jodoh pelawak Zizan Razak kembali hangat diperkatakan selepas Kamal Adli membuat kejutan melamar Uqasha Senrose semasa siaran langsung Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) malam tadi.

Reaksinya pada malam itu menjadi bualan ramai, Zizan berkata dia hanya memberikan reaksi sporting untuk menjadikan program itu lebih menarik dan dia tidak tahu menahu mengenai lamaran Kamal pada Uqasha itu.

BACA: Jadi Bahan Lawak Netizen, Peminat Simpati Dengan Zizan Razak

“Melihat apa yang berlaku malam ini (tadi) menjadi perbualan dalam media sosial tentang jodoh saya selepas Kamal Adli melamar Uqasha Senrose di pentas AME2020.

“Maaf saya katakan apa yang berlaku malam pun bukan rancangan saya dan saya tidak tahu. Saya cuma memberi respons yang ‘sporting’ untuk memberikan program nampak ‘best’,” katanya.

Seolah kecewa urusan jodohnya dipersenda ramai, Zizan meluahkan rasa menerusi Instagram miliknya. Ujarnya, dia percaya bahawa jodoh, ajal dan maut bukan terletak di tangan manusia sebaliknya urusan Allah.

“Dan bila sebut bab jodoh saya tidaklah sebangsat itu dan seperti yang anda sangkakan. Segalanya saya serahkan pada Allah. Kerana jodoh ajal maut itu bukan urusan kita dan semestinya Dia,” katanya.

Terdahulu, Zizan pernah menjalin hubungan cinta dengan pelakon Juliana Evans dan juga Emma Maembong namun terputus di tengah jalan. Malah, Mira Filzah juga tidak terlepas dari kontroversi percintaan bersama pelawak berusia 36 tahun itu.