Meskipun dikecam teruk oleh netizen dan segelintir rakan artis, Datuk A. Aida tetap mempertahankan kenyataannya bahawa rupa paras sangat penting untuk menjadi seorang pelakon untuk melariskan sesebuah drama.
Ujarnya lagi, mereka yang mempertikaikan kenyataannya itu perlu menerima hakikat dan tidak perlu jadi hipokrit kerana jika seseorang pelakon itu tidak mempunyai rupa, siapa yang akan menonton drama tersebut.
BACA: “Kalau Tiada Rupa, Jangan Buang Masa Datang Uji Bakat”
“Itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini. Kenapa nak pertikaikan. Selebriti yang menyelar kenyataan saya itu mungkin tak faham.
“Mereka kena terima hakikat dan jangan jadi hipokrit. Sebab sememangnya setiap drama semua menggunakan pelakon utama yang mempunyai wajah cantik dan tampan.
“Kalau tidak, siapa yang nak tengok drama tu? Bagi saya, bakat itu boleh digilap. Tapi rupa itu sangat penting untuk melariskan sesebuah drama,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Aida memberitahu beliau tidak kisah dengan komen netizen yang mengaitkan wajahnya. Ujarnya lagi, beliau sudah menyekat lebih 500 netizen yang meninggalkan komen negatif di media sosialnya.
Terdahulu, kenyataan A Aida mencetuskan kontroversi apabila beliau meminta bakat baru tidak membuang masa datang ke uji bakat jika tidak mempunyai rupa atau pakej lengkap. Ujarnya lagi, bakat boleh gilap tetapi rupa adalah paling penting untuk menjadi seorang selebriti.