fbpx

Isu Ubah Status Jantina, JPN Tidak Terima Permohonan Sajat

Sehingga kini, status jantina usahawan berjaya, Nur Sajat masih lagi menjadi tanda tanya dan bagaikan tiada jalan penyelesaian walaupun melibatkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak Januari lalu.

Terbaru, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dibuat oleh Nur Sajat Kamaruzzaman untuk mengubah status jantina pada kad pengenalan miliknya.

BACA: Jakim: Pihak Sajat Ganggu Proses Identiti Jantina

Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya tidak menghalang individu yang mahu membuat permohonan menukar jantina mereka pada MyKad, namun akan diteliti terlebih dulu mengikut prosedur ditetapkan.

“Dalam proses permohonan penukaran jantina, ada beberapa aspek yang akan dilihat, iaitu dokumen kelahiran yang disahkan oleh doktor. Di dalam sijil kelahiran terdapat tiga kategori jantina yang diletakkan iaitu lelaki, perempuan dan diragui.

“Sekiranya jantina individu berkenaan disahkan oleh doktor sebagai kategori diragui, mereka boleh mengemukan permohonan untuk memilih salah satu jantina yang lebih dominan apabila sudah dewasa,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun pihak JPN akan menolak permohonan daripada individu yang sudah disahkan jantinanya sejak dilahirkan oleh doktor seperti tertera pada sijil lahir.

Terdahulu Sajat dilaporkan enggan memberi sebarang kenyataan apabila dia didakwa ke Ibu Pejabat JPN di Putrajaya, baru-baru ini untuk mengubah status jantina pada kad pengenalan.