fbpx

Isu Rumah Tangga Ibu Bapa, Ubai Pastikan Emosi Shila Amzah Tak Terganggu

Kekasih kepada Shila Amzah iaitu Ubai berkongsikan penyanyi itu memerlukan ruang untuk bertenang susulan hangat diperkatakan mengenai isu rumah tangga ibu bapanya.

Memetik Media Hiburan, Ubai berkata Shila kini sedang bercuti daripada aktiviti seni serta dia turut menasihatkan kekasihnya itu supaya kurangkan melihat komen berkaitan isu berkenaan.

BACA: Isu Penyondol Rumah Tangga Ibu Bapa, Shila Amzah Belum Sedia Nak Komen

“Dia sekarang berada dalam fasa bertenang. Malah dia juga lapang daripada melakukan aktiviti seni setakat ini sebelum menjayakan konsert solo di Singapura selepas raya.

“Pada mulanya dia terkejut bila peminat bertanya mengenai hantaran yang dilakukan ibunya di Instagram. Seingat saya ketika itu dia sedang bersiaran secara langsung (live).

“Jadi bila keadaan itu berlaku saya nasihatkan dia untuk kurang melihat komen di media sosial memandangkan isu tersebut sudah pun tular.

“Dia cuba untuk berbuat demikian meski ada ketika lihat juga komen-komen berkaitan. Saya nasihat agar dia positif, insyaAllah ada hikmah akan datang di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ubai berkata dia cuba menjadi pendengar setia serta memastikan emosi kekasihnya itu tidak terganggu apatah lagi Shila mempunyai anxiety.

“Kami maklum mengenai status hubungan di media sosial pun ada warganet yang memberi reaksi pelbagai. Kemudian timbul pula isu berkaitan dengan keluarganya pula hingga ia diperkatakan.

“Jadi untuk mengawal keadaan itu, dia banyak bertanya kepada saya. Kalau dia rasa dalam keadaan yang tak okay dia akan hubungi dan luahkan.

“Ada ketika saya bersama rakan-rakan lain akan berbuka puasa bersama dia. Kiranya kami cuba untuk buatkan dia tidak terlalu memikirkan hal yang sedang berlaku.

“Saya pesan kepadanya juga untuk sibukkan diri, isi masa dengan pelbagai aktiviti. Dia pun ada anxiety, jadi perlu untuk elakkan daripada berseorangan,” katanya.