fbpx

Isu Kritik PAS: Norman KRU Sedia Bersemuka

Walaupun telah mendapat kritikan hebat dari penyokong PAS, Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abd. Halim masih mempertahankan kenyataannya yang dibuat di laman Twitter baru-baru ini.

Norman dikritik apabila menyatakan bahawa industri hiburan termasuk filem dan muzik akan hancur sekiranya Pas berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)

Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Kosmo! Norman tetap dengan pendiriannya kerana sudah nampak apa yang terjadi di Kelantan selepas kerajaan PAS memerintah.

“Kita dapat melihat apabila Pas menawan dan membentuk kerajaan di Kelantan, semua panggung wayang ditutup dan penganjuran konsert juga sudah tidak dibenarkan lagi.”

“Pada pandangan saya, ia sudah mencerminkan bahawa industri hiburan mula mengalami zaman kehancuran dan sekiranya Pas memerintah Malaysia, tidak mustahil perkara yang sama terjadi,” jelasnya.

“Saya sendiri beragama Islam dan tahu rezeki itu datang daripada Allah. Jadi, tidak perlu memutarbelitkan setiap kenyataan yang dibuat kalau tidak bersetuju dengan pandangan yang saya berikan,” tambahnya lagi.

Mengenai beberapa rakan artis yang mengkritik kenyataanya sebelum ini, Norman memberitahu beliau bersedia untuk berdialog dengan mereka dan yakin dengan apa yang bakal diutarakan kerana mempunyai pengalaman lebih 20 tahun di dalam industri hiburan.

Ujar Norman lagi, beliau sendiri pernah berjumpa dengan pemimpin PAS untuk meminta pendapat mengenai isu industri hiburan ini dan pemimpin itu punyai pandangan sendiri.