fbpx

Isu Hadiah, Aishah Mahu Saman Datuk Seri Vida?

Bulan lalu, kecoh seketika apabila penyanyi yang juga merupakan juara Juara Gegar Vaganza musim keempat, Aishah mendakwa bahawa hadiah seutas rantai bernilai RM80,000 pemberian Datuk Seri Vida kepadanya adalah palsu.

Isu mengenai rantai didakwa palsu itu mengundang simpati sesetengah pihak terhadap penyanyi itu apabila pengasas sebuah produk kecantikan menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan Aishah seutas gelang emas dengan tujuan untuk memulihkan hubungan artis dengan industri kosmetik di Malaysia.

BACA: “Dua Kali Tauke Kedai Emas Periksa, Memang Palsu”

Mengulas mengenai tawaran tersebut di Instagram, Aishah bagaimanapun menolak tawaran pemberian mereka atas dasar prinsip dan mahu memperjuangkan hak artis supaya tidak diperlekehkan oleh pihak tertentu.

Dari kenyataan yang dimuat naik oleh Aishah itu, mungkin sudah hampir pasti beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Vida? Sebelum ini, Aishah ada memuat naik gambar bersama pemenang kedua dan ketiga Gegar Vaganza 4 iaitu Liza Hanim dan Lan Solo. Pertemuan mereka itu dipercayai mengenai hadiah yang diterima dari penaja.

Menerusi posting gambar berkenaan, Aishah turut meluahkan rasa kecewa apabila ada yang mengatakan peserta GV4 sepertinya dikatakan artis suam kuku dan tidak laku sebelum menyertai program realiti tersebut.

Terdahulu, Aishah mendedahkan barangan kemas yang didakwa bernilai RM 80,000 oleh Vida itu tidak mempunyai nilai. Aishah juga turut memuat naik video bagi membuktikan dakwaannya itu.  Bagaimanapun, Datuk Seri Vida menafikan dakwaan tersebut dan akan menggantikannya dengan Lavida Coin.