fbpx

“Dua Kali Tauke Kedai Emas Periksa, Memang Palsu”

Baru-baru ini, menerusi Instagram, penyanyi Aishah meluahkan rasa kecewanya mengenai hadiah tanah lot banglo yang dimenanginya masih belum diterima sehingga ke hari ini. Lebih mengecewakan lagi apabila barangan kemas hadiah tajaan daripada Datuk Seri Vida didakwa palsu.

Aishah akhirnya tampil membuka mulut mengenai isu tersebut meminta agar pihak penaja lebih bersikap jujur untuk menawarkan hadiah kepada pemenang. Lebih terkilan apabila dia mengetahui harga sebenar berlian yang dimenanginya itu adalah bukan berlian original.

BACA: DSV Taja Hadiah Emas Palsu?

“Mulanya saya pergi kedai barangan kemas untuk ubah suai rantai tersebut kerana ia terlalu besar untuk dipakai setiap hari, tapi mengejutkan apabila pemeriksaan mendapati ia bukan asli.

“Dua kali ‘tauke’ kedai itu check, ingatkan mesin berlian itu rosak tapi apabila letak cincin (berlian asli) berbunyi pula, saya terkilan dan tertanya adakah kerana ini hadiah tambahan bermakna penaja tak boleh memberi jaminan ia tulen. Kalau penaja kata hadiah itu plastik atau kayu sekalipun saya terima, tapi jangan tipu,” jelasnya kepada portal Oh Bulan.

Menurut Aishah, tauke kedai emas memeriksa kualiti berlian dengan menggunakan alat pricena. Sekiranya alat tersebut mengeluarkan bunyi maka, berlian tersebut adalah asli dan tulen. Namun berlian yang dibawa Aishah tidak mengeluarkan sebarang bunyi setelah di periksa.

Disebabkan perkongsian isu tersebut di media sosial, Aishah menerima kecaman netizen yang menganggap penyanyi itu tidak bersyukur dengan pemberian daripada pihak penaja.

“Tentang hadiah tanah lot itu, ada netizen yang marah kata kita tak bersyukur dan tak tahu bersabar tapi hakikatnya mereka tak beri tarikh sebenar dan asyik tangguh sahaja nak suruh tunggu tanah kubur agaknya!

“Saya tahu apabila berkongsi mengenai hal ini orang akan kutuk, tapi saya bersuara kerana ini hak kita. Saya harap pihak berkenaan bertanggungjawab dan mungkin kerajaan boleh amik perhatian,” ujarnya.

Katanya lagi, jika pihak penaja ada masalah, boleh berjumpa dengannya untuk menceritakan perkara sebenar memandangkan sudah hampir setahun pihaknya diminta untuk bersabar.