fbpx

Isu Berlian Palsu Selesai, Sengketa Aishah & DSV Berakhir

Tahun lalu, kecoh mengenai kontroversi antara penyanyi Aishah dan usahawan kosmetik Datuk Seri Vida berkenaan dakwaan hadiah berlian palsu.

Bagaimanapun, persengketaan antara Aishah dan Vida sudah pun berakhir selepas kes mereka diselesaikan melalui mediasi antara kedua-dua belah pihak yang diadakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

BACA: Cadang Kejuaraan Aishah Ditarik Balik, DSV Mohon Maaf

Menurut peguam yang mewakili Aishah, tiada perbicaraan penuh akan berlangsung namun terma-terma yang dipersetujui belum boleh dikongsikan lagi.

“Mediasi berjaya diselesaikan dengan baik. Dalam erti kata lain tiada perbicaraan penuh akan berlangsung. Cuma terma-terma yang dipersetujui itu saya belum nak boleh dikongsi. Butiran selanjutnya akan dijelaskan kemudian.

“Pihak Aishah dan Datuk Vida telah merekodkan penghakiman persetujuan di hadapan yang Arif,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu. Aishah memaklumkan pihaknya akan mengadakan sidang media mengenai perkara itu dalam masa terdekat. Aishah turut meluahkan rasa syukur apabila mendapat pembelaan yang adil demi memperjuangkan hak anak seni.

“Takbir! Menusuk jiwaku. Allah, Allah, Allah, sesungguhnya hanya Kau yang mengetahui perjalanan penuh berliku sebagai anak seni, dipuja dan dipuji.

“Tak kurang dicaci maki. Namun, aku tetap aku. Tak pernah nak ambil jalan singkat atau mudah untuk berjaya. Akhirnya, boleh tidur lena selepas segala kekusutan bakal terjawab.

“Ini perjuangan untuk semua anak seni. Semoga kerjaya kita diiktiraf sebagai satu kerjaya yang profesional dan bukan sewenang-wenangnya diperlekeh oleh sesiapa,” katanya.