fbpx

Isteri Jamal Abdillah Selamat Timang Cahaya Mata

Tahniah buat Datuk Jamal Abdillah dan juga isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, kerana telah selamat menimang cahaya mata perempuan petang semalam secara pembedahan di pusat perubatan swasta di Shah Alam.

Jamal meluahkan rasa syukur anak ketiganya seberat 2.7 kilogram diberi nama Nur Azura Yamani itu dilahirkan dalam keadaan sihat dan sudah lama menantikan cahaya mata perempuan.

BACA: Jamal Abdillah Perkenalkan Isteri Muda

“Alhamdulillah, ia adalah anugerah terindah daripada Allah SWT kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga.

“Isteri dimasukkan ke wad bersalin semalam dan pada jam 5.35 petang tadi, pembedahan selamat dijalankan.

“Saya bersyukur isteri selamat melahirkan bayi perempuan kami yang sihat, putih melepak dan seiras wajah saya seberat 2.7 kilogram,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsikan mengenai keadaan isterinya, Jamal berkata Zai Izzati akan ditahan selama beberapa hari di wad sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Ujarnya lagi, isterinya akan berpantang di kediaman mereka di Shah Alam.

“Maklumlah, isteri melahirkan anak secara pembedahan dan doktor mahu memastikan keadaannya okey dulu sebelum pulang ke rumah.

“Isteri juga akan menjalani tempoh berpantang di kediaman kami di Shah Alam selepas keluar dari wad nanti,” katanya.

Jamal berkahwin kali keempat dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak. Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.